Iklan

Pages

Followers

20 July 2009

Bagaimana Bercinta Cara Islam?

Islam adalah agama yang syumul. Sebuah agama yang lengkap. Islam tidak mungkin menyekat fitrah manusia yang sememangnya ingin menyayangi dan ingin disayangi. Untuk apa Allah menciptakan manusia berfitrah seperti sedia ada jika manusia akan diperintahkan untuk membunuh fitrahnya itu? Ajaran Islam telah diturunkan oleh Allah untuk memasang bingkai agar kemahuan manusia itu dapat disalurkan dengan cara yang terbaik. Selain itu, Islam menutup rapat jalan kemaksiatan dan membuka seluas-luasnya jalan menuju ketaatan serta memberi dorongan kuat ke arah perlaksanaanya. Rasulullah s.a.w. pernah mengecam salah seorang sahabat yang bertekad untuk tidak bernikah. Ini merupakan salah satu bukti bahawa Islam mengakui fitrah manusia yang ingin mengasihi dan dikasihi atau mencintai dan dicintai.

Percintaan dalam Islam hanyalah selepas termetrainya sebuah ikatan pernikahan antara dua insan, iaitu setelah bergelar suami isteri. Islam telah menggariskan panduan dalam menuju ke arah gerbang perkahwinan ini.
Ustaz Hassan Din telah memberikan pendapatnya mengenai hal ini dalam Al-Kulliyah di TV3 pada 28 Julai 2006, iaitu pada hari Jumaat. Tajuk perbincangan Al-Kulliyah ketika itu agak menarik ; iaitu "Jodoh".

Masyarakat Sudah Lari

Apabila diminta memberikan pendapat beliau, beliau telah mengatakan bahawa cara masyarakat sekarang mengendalikan perihal jodoh telah lari daripada syariat yang sepatutnya.

"Sebenarnya dalam Islam, apabila seseorang lelaki itu telah berkenan dengan seorang wanita dan ingin menjadikan teman hidupnya, sepatutnya lelaki itu berjumpa dengan wali si perempuan tadi untuk menyatakan niatnya untuk masuk meminang. Tetapi masyarakat sekarang silap. Mereka terus berjumpa dengan empunya diri dan terus menyatakan hasrat hatinya. Kemudian mereka bercinta, berjanji, bersumpah setia dan segala-galanya. Sedangkan ibubapa mereka langsung tidak tahu akan hubungan mereka itu. Setelah sekian lama bercinta, apabila ingin melangsungkan perkahwinan, mak dan ayah tidak bersetuju dengan mengeluarkan pelbagai alasan,” terang beliau.



Konsep Meminang


Beliau juga menerangkan konsep peminangan ini. Kata beliau, “Ibu bapa mungkin sudah ada pilihan mereka sendiri. Oleh itu, dengan menyatakan niat kepada ibubapa, mereka akan berjumpa sendiri dengan wali perempuan tadi untuk mengenali keluarga dan calon menantu mereka dengan lebih jelas. Setelah kedua-dua pihak bersetuju, barulah dijalankan upacara peminangan, iaitu kedua-dua insan tadi telah menjadi tunang. Apabila sudah menjadi tunangan orang, adalah
HARAM perempaun itu dipinang oleh lelaki lain, seperti yang telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis baginda. Dalam masa pertunangan inilah kedua-dua pihak lelaki dan perempuan tadi akan saling mengenali antara satu-sama lain, bagi memastikan adakah ini merupakan pasangan hidupnya yang sebenar. Jika kedua-duanya sudah bersetuju, barulah pernikahan dilangsungkan,” jelas beliau lagi.

"Dalam masa pertunangan inilah kedua-dua pihak lelaki dan perempuan tadi akan saling mengenali antara satu-sama lain, bagi memastikan adakah ini merupakan pasangan hidupnya yang sebenar. Jika kedua-duanya sudah bersetuju, barulah pernikahan dilangsungkan."


Namun begitu, Ustaz Hassan Din menegaskan bahawa bertunang bukan merupakan lesen yang membenarkan kedua-dua pasangan bermesra-mesra seperti suami isteri. Bertunang hanyalah untuk saling mengenali antara satu sama lain dan bukannya untuk bercinta. Pasangan yang telah bertunang tetap tidak boleh keluar berdua-duaan tanpa ditemani oleh ahli keluarga. Selagi belum bernikah, mereka tetap dua insan yang bukan mahram dan masih perlu manjaga batasan-batasan Islam seperti yang telah dibincangkan sebelum ini. Dan jika dalam tempoh pertunangan itu didapati kedua-dua pasangan ini tidak secocok atau tidak serasi, maka pertunangan bolehlah diputuskan secara baik melalui persetujuan kedua-dua belah pihak.

Dan jika dalam tempoh pertunangan itu didapati kedua-dua pasangan ini tidak secocok atau tidak serasi, maka pertunangan bolehlah diputuskan secara baik melalui persetujuan kedua-dua belah pihak.


Perigi Cari Timba

Ada pula yang berkata, “Cara ini untuk lelaki bolehlah. Untuk perempuan, tak sesuai. Nanti orang kata, ‘macam perigi mencari timba’, ‘wanita tidak bermaruah’ dan macam-macam lagi.” Sabar dahulu saudari.

Sebenarnya ini merupakan pemikiran songsang yang telah diterapkan dalam masyarakat Melayu kita. Sebetulnya kita berbalik kepada Islam itu sendiri. Bagaimanakah Islam mengajar wanita yang berkeinginan bernikah untuk menyuarakan keinginanya? Mari kita kaji sirah.

Bukankah perkahwinan teragung antara junjungan kita, Nabi Muhammad s.a.w. dan Siti Khadijah r.a. dimulakan dengan Siti Khadijah menzahirkan keinginannya? Ketika mengetahui sifat-sifat mulia yang dimiliki oleh Nabi Muhammad s.a.w., beliau merasakan yang dia tidak akan menjumpai sesiapa yang lebih layak untuk dijadikan suaminya melainkan Baginda. Oleh itu Siti Khadijah menyuarakan keinginannya kepada pakciknya, Abbas, agar merisik Muhammad s.a.w. Sesudah pihak Baginda bersetuju, barulah keluarga Nabi menghantar rombongan meminang. Begitulah yang diajarkan dalam sirah??

Jadi, tiada salahnya wanita yang memulakan dahulu. Bukankan itu lebih mulia, menyuarakan keinginan dan kebersediaan untuk mengikuti sunnah baginda Rasulullah s.a.w.? Cuma biarlah caranya sesuai dengan cara masyarakat kita. Jika seorang wanita itu telah mempunyai calon suami yang baik dan soleh, suarakan-lah kepada ibu bapa supaya mereka dapat menghubungi pihak keluarga lelaki tersebut. Biar orang tua yang menguruskan, kita cuma mencadangkan. Kalau kedua-dua pihak setuju, alhamdulillah. Maka pihak lelaki boleh masuk meminang.

Indahnya Cara Islam


Lihat, betapa indahnya Islam mengaturkan perjalanan hidup penganutnya. Cukup teratur dan sitematik. Cara ini dapat mengelakkan daripada berlakunya maksiat dan perkara-perkara lain yang tidak diingini. Dalam masa yang sama, ia menuju kepada pembentukan keluarga bahagia yang diidamkan oleh semua manusia kerana itulah fitrah insani. Insya-Allah jika segalanya dilakukan dengan niat ikhlas kerana Allah dan bukan atas dasar nafsu dan keduniaan semata-mata, Allah akan mempermudah urusan itu.

Untuk mereka yang masih menimba ilmu, tidak perlulah bersusah-susah mencari jodoh sekarang. Jodoh di tangan Allah, pasti bertemu jua dengan taqdirnya. Sekarang kita mempunyai matlamat yang lebih penting iaitu mendapatkan kecemerlangan dalam pelajaran dan menunaikan tanggungjawab kita sebagai muslim. Banyak lagi tanggungjawab yang perlu kita pikul dan bercinta bukanlah sesuatu yang perlu buat masa sekarang. Berusahalah menjadi muslim dan muslimah sejati serta mengamalkan Islam dalam kehidupan kita.

Akan tetapi, bagi mereka yang merasakan diri sudah mampu untuk memikul tanggungjawab berumah tangga, mampu memberi nafkah zahir dan batin, maka bernikahlah. Tiada salahnya bernikah ketika belajar. Itu adalah lebih mulia daripada mereka yang ber’couple’, dan memuaskan nafsu mengikut telunjuk syaitan. Ikutilah cara-cara menuju pernikahan yang telah diterangkan di atas. Sekali lagi ditegaskan, bercinta sebelum berkahwin dan ber’couple’ adalah menghampiri zina dan hukumnya adalah HARAM.

"Jika tepat masa,ketika, keadaan dan SIAPA, cinta adalah kuasa luar biasa yang tiada bandingannya" -Ustaz Pahrol Mohd Juoi, penulis buku "Tentang Cinta"

19 July 2009

Ketakutan Dia, Seorang Lelaki..

Assalamualaikum wbt..

Moga sentiasa bernafas dalam keikhlasan mencari keredhaanNYA diakhir tujuan setiap amalan Insya Allah. Moga juga sentisa kekal diatas jalanNya dan tidak sekali-sekali berputus asa untuk terus berjalan. Sewaktu saya menulis ini saya baru sahaja pulang dari kuliah di universiti. Dek kerana sesi lab dan kuliah kedua-duanya dibatalkan, Allah benarkan tenaga ini digunakan untuk menulis sedikit diruangan ini.

Pagi ini saya mengambil keputusan untuk menuju ke universiti lebih awal berbanding sahabat-sahabat saya. Alhamdulillah sesampainya di univeristi, sekali lagi Allah benarkan saya untuk mengerjakan solat Dhuha terlebih dahulu. Seperti kebiasaanya pada setiap kali selepas solat, seperti juga anda, serangkap demi serangkap doa saya panjatkan pada Yang Maha Esa. Cuma dihulunya ..‘1 message received’..sejenak, I got a message from my Lord. Beberapa perkara khusus berlari-lari di setiap inci otak saya. Pantas saya cuba menghilangkan buat sementara waktu dan menghabiskan ‘permintaan-permintaan’ saya pada Allah.

Selesai segalanya, lantas saya menyandarkan badan yang masih dalam kesegaran wudhu’ ini di sebuah sudut yang terpencil di surau universiti yang nyaman dan damai sekali. Beg biru yang di hantar oleh ibu dari Malaysia saya capai, isinya saya keluarkan. Sebuah buku physiology kehijauan saya selak. Helaian demi helaian, bacaan demi bacaan. Satu pun saya tidak dapat fokus. Mengapa? Sebabnya perkara tadi masih lagi berlegar-legar difikiran saya. Seakan-akan meronta-ronta untuk dikeluarkan dan diterjemahkan. Tetapi, apa?


`Ketakutan seorang lelaki!’

Mungkin agak janggal bagi anda dan saya meniti mata kita dari `K’ sehingga I’` pada tajuk diatas. Tapi, inilah perkara yang bermain difikiran saya ketika itu. Saya pun tidak tahu dari mana pangkalnya dan dari mana hujungnya. Cuma yang saya tahu,
ada lelaki yang sedang ketakutan disekeliling kita sedang mencari jawapan, jawapan bagi setiap soalan untuk dirinya. Sekali lagi pantas jari jemari ini berfungsi, kali ini untuk menutup helaian-helaian buku physilogy saya, ada perkara yang perlu diselesaikan..

Lelaki owh lelaki..jangan takut..Allah kan baik.

Saya teringat diwaktu dulu, ketika itu saya masih lagi kecil dan kurang mengerti selok-belok dunia ini. Hatta kini, masih juga sama. Cuma, Alhamdulillah, merentasi masa pasti juga akan merentasi suka dan duka. Syukur Allah benarkan saya belajar banyak perkara dari semua itu.


Saya insan biasa. Tetapi sukakan sesuatu yang luar biasa dalam keadaan yang biasa-biasa. Jadinya, kalau ada salah dan silap, sama-sama kita saling melengkapi. Moga Allah kira ini sebagai usaha untuk mendapatkan keredhaanNya.


Mari bermula! Dulu saya pernah bersembang dengan seorang akhi tentang cinta.Tapi, biasalah..dulu sembang-sembang sahaja. Kini, Allah bagi rezeki untuk terjemahkan balik satu-persatu, Alhamdulillah.

‘yer,memang kita perlu yakin dengan jodoh yang Allah bagi kat kita,tapi kita kena ada usaha..’
‘usaha’?
‘aah, usaha..’
‘oo00oo, usaha..'


Maka merentasi masa, saya melihat bermacam-macam usaha yang ada kat muka bumi ini, dalam mencari jodoh atau pasangan hidup.

‘Usahalah kenal dia, SMS laa’
‘Isk, apa susah..bercinta la, baru kenal..’
‘Baik tackle cepat, sebelum dia ditackle kan orang lain.melepas kau..’


Saya pun, angguk dengan pendapat-pendapat manusia, masa pun direntasi lagi.


‘Alamak, melepas laa aku dia, tak tau kenapa ‘.
‘Isk, bosannya kahwin, kalau aku tau..aku tak nak bercinta dulu..’
‘Buang masa aku jer..last-last bukan sesuai pun…'

Aih...dah bertukar dah..begitu pula jadinya....


Apa yang sahabat-sahabat boleh bayangkan dalam situasi dialog diatas? Apa yang ingin saya sampaikan?
Ruang ini saya ingin memotivasikan lelaki-lelaki yang mungkin sedang dalam ketakutan dalam mengharungi hidupnya seharian (ingat, saya pun lelaki juga).



TEKNIK & TAKTIK:

1) Letakkan kenyakinan yang tinggi pada Allah swt.Usaha sebenar bukanlah terletak pd SMS, chatting, tackle menackle atau pada apa yang menjurus kepada sebuah perhubungan sebelum kahwin.
Tetapi USAHA sebenar seorang lelaki adalah menahan segala-galanya dari perkara yang menjurus kepada itu. Itulah USAHA sebenarnya..

Bagaimana pula dengan hadis rasul kita, Nabi muhammad S.A.W? Dalam hadis, baginda rasulullah telah memperincikan jenis-jenis zina.

Daripada Abu Hurairah r.a katanya, Nabi S.A.W. bersabda :
“Sesungguhnya Allah Ta’ala telah menetapkan nasib anak Adam mengenai zina. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Zina mata ialah memandang. Zina lidah ialah berkata. Zina hati ialah keinginan dan syahwat,sedangkan faraj (kemaluan) hanya menuruti atau tidak menuruti’

2) Setiap lelaki inginkan wanita yang solehah untuk mengasuh dan mendidik anak-anaknya. Ketakutan lelaki akan muncul apabila bertemu dengan calon pilihannya dan risau akan kehilangannya. Dia akan berusaha untuk mendapatkan wanita tersebut dengan cara yang berbeza-beza.

Untuk yang kurang pendedahan agama:Mungkin mengambil jalan untuk bercouple(dating etc)
Untuk golongan pertengahan :Biasanya akan menggunakan ayat2 kiasan,jelling menjeling dan mungkin bercouple tapi istilah ‘bercouple dalam islam’ …
Untuk golongan yang didedahkan dengan agama:Ini bahaya! Ramai juga pejuang-pejuang yang bertungkus lumus didalam agenda dakwah dan sebagainya dimata manusia, gugur di persimpangan ini. Nauzubillah min zalik. Sehingga ada yang sanggup menghadiri program tarbiyyah hanya semata hadirnya zaujah pilihan dihati. Ada juga yang menganggap diri masing-masing sebagai sahabat juang, lalu meluahkan masalah didalam perjuangan bersama-sama, sedangkan wujud jantina sejenis yang lebih afdhal? Alasan - akhawat lebih memahami?Sudahlah, syaitan lagi memahami. Astagfirullahal adzim, jauhkan lah semua ini dari kami Ya ALLAH.


Firman Allah ini sangat popular, namun ramai buat-buat tak tahu tentang kehadiran isi kandungan yang ingin disampaikan .

“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.”

Ianya adalah ‘mendekati’ , bukannya ‘melakukan’ ..Allah ingin mengajar kita supaya tidak mendekati cabang-cabang zina, walau seinci!..subhanallah.nauzubillah..ihfazna ya Rahman..


3) Lelaki punyai kekuatan, bukan pada tubuh badan. Tapi kekentalan menghadapi cabaran seorang perempuan.


Sebuah hadiht sahih: Ar rasul bersabda..
'Tidak aku tinggalkan fitnah paling besar dan berat kepada anak adam,melainkan perempuan'

Akhirnya kita dapat melihat bahawa setiap lelaki inginkan kebaikan dalam setiap perhubungan, mengharapkan teman hidup yang betul-betul mampu memahami. Disinilah muncul ketakutan didalam jiwa mereka sehingga menghasilkan `usaha’ yang tak diperlukan.

Ingat, sahabat-sahabat sekalian, sekiranya benar dan ikhlas tujuan kita, usaha kita yang sebenar adalah usaha menghalang segala `usaha’ yang akan menghalang kita mendapat cinta seperti cinta Rasulullah dan Khadijah.

Allah tak zalim, cinta suci, peliharalah kesuciannya.


Di benak hati, letakkan KEYAKINAN..ikutlah cara Islam, ikutlah undang-undang tuhan, ikutlah teladan Rasulullah dan sahabat, juga salafussoleh..moga ia akan memberikan kebahagiaan di DUNIA juga AKHIRAT.

Formula : Yakin + Islam’s way = isteri @ suami solehah..=)

Insya Allah..specific for me, but rugi kalau tidak disebar-sebarkan..kan?..manfaat bersama. Andai saya juga terleka, ingatkanlah saya..saya juga seorang lelaki..:)..

Syukran ‘ihfazillah yahfazka’..

salam ukhuwah..

18 July 2009

Calon Solehah

Hafiz berdoa seperti kelaziman, dia meraup wajahnya. Sunat selepas maghrib menjadi penutup ibadah senjanya lewat petang itu. Hajat memang ada untuk sama-sama meraih pahala berganda di masjid, namun keletihan diri terlebih dahulu merantai keinginan mulia itu. Serik rasanya beradu kekuatan di padang bola bersama dengan orang Arab. Ganas, agresif dan kasar. Semuanya bersatu dan berpadu dan membuahkan natijah yang kurang menyenangkannya. Tersungkur jugak dia dibentes lawan. Tangannya mencapai minyak habbatussauda’ untuk disapukan pada bahagian yang sudah nampak lebam biru kehitaman. Kakinya hampir saja kejang. Aduh! Dia mengeluh. Matanya terpaku pada penanda buku unik yang terselit malu pada Tafsir Quran. Jamahan matanya menyatakan dalam kiasan nurani penanda buku itu unik rekaannya. Seunik bicara dan hujah pemberi “book mark” itu. Kemas dengan kesan “liminate”, berukuran comel 30cm panjang kali 5cm lebar. Kalimah bertinta ungu itu menarik perhatiannya malah tersemat utuh di hatinya. Terkesan siapa yang membaca hikmah puitis itu. “Layakkah kita untuk mengasihi manusia sekiranya kasih dan cinta kita pada Pencipta manusia itu masih belum mantap. Tepuklah dada tanyalah iman.”

Semusim percutianku sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Yarmouk ini, sememangnya meninggalkan kesan yang mendalam pada hatiku. Alasan yang aku kemukakan semata-mata untuk mengelak apabila Tok Ayah persoalkan tentang jodoh ternyata membuahkan satu mutiara kenangan. Kenangan yang menautkan dua hati melalui penyatuan idea mengenai CALON SOLEHAH. “Mencari seorang calon isteri yang solehah bolehlah kita umpamakan sebagai mencari gagak putih. Semakin ia bernilai maka lazimnya semakin susah untuk kita dapatkan."
Agaknya inilah penyebab ramainya anak muda yang masih mencari-cari jodoh sedangkan umur semakin meningkat…lewat menunaikan seru!!!.

“ Hafiz, kamu tidak mahu berkahwin ke?” eh, tiba-tiba pula Tok Ayah mengutarakan soalan cepu mas ini. Pengajian memang sudah tamat namun hajat di hati ingin menyambung ke peringkat sarjana masih segar.

“Bukan tak berkeinginan Tok Ayah tapi..hajat nak mencari yang solehah. Biar dunia tidak berat sebelah .” Harap-harap inilah alasan yang agak kukuh.

“Nak cari yang benar-benar solehah, bukanlah satu usaha yang mudah. Nak yang solat di awal waktu, hormati ibu dan ayah, pandai mengaji Quran, menutup aurat..ish, banyak sungguh ciri-ciri kamu Hafiz!!. Alamatnya, sampai Tok Ayah berumah kat batu dua lah baru sampai hajatnya. ”

“ Susahlah Tok Ayah…yang sipi-sipi ada lah jugak jumpa…” sempat juga aku melontarkan idea spontan aku. Tok Ayah hanya menggeleng.

Pertemuan dengan Raihanah berlaku secara tidak sengaja, ketika bersama-sama Tok Ayah singgah ke warung pagi itu. Suka benar Tok Ayah dengan nasi lemak air tangan ibu saudara Raihanah. Dia kurang mengenali siapa Raihanah. Malah daripada cerita ibu saudaranya itu Raihanah adalah anak abangnya yang tinggal di Kedah. Tamat pengajian gadis itu bermastautin sementara di kampungnya. manis tapi jarang tersenyum. Kulit asianya terlindung di sebalik baju t-shirt labuh paras lutut dan bertangan panjang itu, dengan tudung turki bercorak flora. Tiada yang istimewa sangat! Namun peristiwa malam itu di surau ternyata membuktikan bahawa gadis itu bukanlah sebarangan gadis. Mempunyai daya tarikan pada yang tahu menilai mutiara wangian syurga ini.

“Calon isteri yang solehah.Orang lelaki nak yang solehah sahaja, tapi kadangkala diri sendiri dia tak check betul-betu!!,” ngomel seorang gadis ketika perbincangan ilmiah pada malam itu apabila Tok Ayah menyatakan mengenai topik tersebut. Aku sekadar tersenyum. Kelaziman kuliah maghrib lebih berbentuk ilmiah untuk menarik golongan muda bersama-sama meluahkan pendapat. Mendengar kata-kata gadis itu aku tersenyum sendirian.

“Raihanah ada sebarang pendapat? ” soal Tok Ayah apabila gadis bertelekung putih itu hanya sekadar menjadi pemerhati debat tidak formal itu.“Sekadar pendapat Tok Ayah. Jika kita nak bakal zaujah kita seorang yang solehah, yang bertaqwa saya ada satu tips ". Riuh seketika. “Sebelum kita kaji dan tilik bakal isteri kita paling afdal kita tilik diri kita dulu. Teropong dulu takat mana iman dan taqwa kita!” aku sedikit terkelu. Macamana agaknya? Namun persoalan itu hanya berlegar-legar di fikiran kosongku, tidak terluah.

“Nak dapat bakal isteri yang solehah, paling penting syarat utamanya solehkan dulu diri anda. Di sinilah dapat kita kaitkan konsep bakal isteri yang solehah untuk bakal suami yang soleh. tabur ciri-ciri suami soleh dalam diri. Siramkan sahsiah mulia dengan sifat mahmudah lelaki soleh ". Aku mengangguk tanda setuju dengan pendapat bernas itu.

“Tapi, ada jaminan ke kita akan mendapat bakal isteri yang solehah? ” ada Qariah muda berani untuk mengutarakan soalan. “Bergantung pada diri kita sebenarnya. Suburnya ciri-ciri lelaki soleh pada diri kita insyaAllah akan meningkatkan iman dan taqwa kita. Semakin cerahlah peluang untuk kita mendapat calon yang solehah. Jodoh adalah kerja Allah. Ingatlah jaminan Allah dalam surah Nisa’ bahawa lelaki yang soleh telah ditetapkan akan dipertemukan dengan perempuan yang solehah. Lelaki yang mukmin untuk perempuan yang mukminat.” Raihanah melepas lelah barangkali. Lalu dia tersenyum.

“ Teruskan usaha mencari calon yang solehah. Tapi, dalam masa yang sama tingkatkan nilai kesolehan anda. Inilah strategi serampang dua mata, macam DEB. Cuma satu nasihat saya, jangan letakkan syarat bakal zaujah itu terlalu tinggi . "

“Kenapa pulak?” Tanya Tok Ayah. Eh, Tok ayah pun mengambil bahagian juga?...bukankah hakikat sebuah perkahwinan adalah saling melengkapi... insyaAllah jika ada yang kurang pada bakal zaujah, tampunglah selepas perkahwinan tersebut. Hal iman dan taqwa janganlah diambil remah. Jangan nak berlebih dan berkurang dalam hal mencari pasangan kita. Mengambil kata-kata daripada laman Kemudi hati dalam Anis, kebanyakan lelaki menilai dan meletakkan piawaian yang tinggi untuk bakal zaujahnya tetapi merendahkan piawaian itu untuk dirinya…itu adalah silap tafsir.” Alhamdulillah, sekarang terbuka sudah pemikiran ruang lingkup. Aku tersenyum. Terima kasih Raihanah. Tok Ayah juga tersenyum. Ada hikmah di sebalik semua ini.

“Hafiz, ada surat untuk anta daripada Malaysia!!”. Kenyitan mata Syahid sewaktu menyerahkan surat bersampul unggu itu diikuti dengan gelak tawa rafiknya yang lain mematikan lamunannya. Senyuman yang berbunga di bibir Syahid seolah-olah memberitahunya bahawa warkah itu sudah pastinya daripada tunangannya, Raihanah!! . Calon pilihan Tok Ayah, dan juga hatinya yang kini sedang meneruskan pengajian peringkat Sarjana Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa. Alhamdulillah, gadis inilah yang telah menemukannya titik noktah pencarian CALON SOLEHAH.
Syukur Ya Allah!!! .

<>