Iklan

Pages

Followers

30 October 2009

PEMUDA YANG IKHLAS


Pada zaman dahulu, ada seorang jejaka yang sangat suka membaca dan selalu menghabiskan masanya di perpustakaan pada waktu lapang. Dia amat suka membaca novel dan buku cerita. Pada suatu hari, dia telah terjumpa sebuah novel yang ada tertulis pada kulit novel itu nama dan alamat seorang gadis di salah satu muka suratnya. Tertulis disitu “Catrina, ikhlas dan perlukan sahabat “.

Tergerak hati jejaka untuk mengutus surat kepada si gadis misteri itu. Setelah pulang ke rumah, jejaka itu menulis surat untuk memberitahu niat ingin berkawan dengan gadis itu. Beberapa hari kemudian si jejaka mendapat balasan daripada gadis tersebut bahawa dia juga bersetuju untuk berkawan dengan si jejaka.

Hari betukar minggu dan minggu bertukar bulan. Persahabatan mula bertukar kepada perasaan sayang. Namun begitu mereka
masih belum pernah bersua muka. Si jejaka ingin sekali bertemu si gadis misteri dan begitu juga dengan si gadis. Walaupun kedua-keduanya masih belum
melihat rupa masing-masing, tapi perasaan sayang tetap berbuku di hati.

Pada suatu hari, si jejaka dipanggil oleh bala tentera untuk pergi ke medan perang. Si jejaka merasa amat susah hati kerana dia bimbang sekiranya dia mungkin tidak dapat berjumpa dengan si gadis kesayangannya. Maka diutuskannya sepucuk surat berbunyi "kalau Allah panjangkan jodoh kita, dan kamu masih sayang padaku, kita berjumpalah di stesen keretapi pada hari perang diumumkan tamat nanti. Aku akan memakai pakaian tenteraku dan membawa sekuntum mawar berwarna merah. Aku akan mengenali kamu sekiranya kamu juga memegang sekuntum bunga mawar merah. Setelah itu izinkanlah aku membawamu untuk makan malam dan bertemu orang tuaku”.

Maka pergi lah jejaka ke medan perang dengan tenang setelah mengutuskan surat itu…

Beberapa bulan kemudian…

Pada hari pengumuman perang tamat, si jejaka pergi ke stesen
keretapi yang dijanjikan sambil memegang sekuntum bunga mawar merah di tangannya. Diperhatikannya seorang demi seorang gadis yang berada di stesen keretapi itu sekiranya ada yang turut memegang bunga mawar merah sepertinya.

Tiba-tiba, si jejaka
ternampak seorang gadis yang agak berisi, sedikit hitam dan berjerawat mukanya duduk di kerusi roda sambil melihat sekeliling seolah mencari seseorang. Kakinya kudung dan tangannya cacat sebelah. Sebelah lagi tangannya memegang sekuntum bunga mawar berwarna merah. Si jejaka sangat terkejut melihat keadaan fizikal dan wajah gadis pujaannya selama ini amat berbeza dari imaginasinya, namun dia memberanikan diri menghampiri gadis tersebut.

"Catrina?" Gadis itu melihat ke arah si jejaka dan tersenyum ceria. Si jejaka terus menghulurkan bunga mawar kepada si gadis dan berkata, "aku amat merinduimu. Terimalah bunga ini dan pelawaanku untuk makan malam bersama kedua ibu bapaku. Orang tuaku tidak sabar-sabar lagi untuk bertemu denganmu” kata jejaka itu. Si gadis itu tersenyum lagi dan berkata, "aku tidak tahu apa yang terjadi. Tetapi ada seorang gadis cantik jelita memberikan bunga ini kepadaku sebentar tadi. Dia memintaku memberitahu kamu bahawa dia sedang menunggu kamu di restoran di hadapan stesen ini sekiranya kamu mempelawaku makan malam dan bertemu orang tuamu”.

Berapa ramaikah manusia yang sesuci hati jejaka ini? Dia melihat kepada hati dan bukan kepada rupa. Dia telah mengotakan janjinya dan tetap berpegang kepada perasaan sayang walaupun pada mulanya dia menjangkakan gadis cacat itu adalah Catrina. Masihkah lagi wujud lelaki seikhlas dan seluhur hati pemuda itu?hope it's me..
-sekian-


27 October 2009

EXAM OH EXAM!!!!!

Buku-buku berselerak diatas meja. Nota-nota kuliah berterabur lari daripada susunan asalnya. Jadual peperiksaan menggantikan jadual kuliah yang dahulunya menghuni ruang kosong di bucu almari. Kawannya, si jadual ‘study’ bertenggek di sebelahnya sebagai peneman dan juga sebagai ‘reminder’ kepada si tuan pembuat jadual agar bersistematik dalam menguruskan waktu untuk belajar di saat-saat genting ini.

Tarikh-tarikh di kalendar di pangkahkan besar-besar agar jelas kelihatan kuantiti masa yang sudah hilang. ‘Exam’ sudah semakin dekat begitu juga dengan cuti musim panas. Gundah bercampur dengan girang. Gelojak kedua-dua perasaan mula berkecamuk. Mengelirukan.

Exam oh exam. Kenapa mesti wujudnya ‘exam’? Apakah rasionalnya ‘exam’? Dunia ini memerlukan ‘exam’ kah? Kenapa para akademik begitu taksub dengan istilah puaka ini sehingga terasa tersiksa pelajar-pelajar dibuatnya. Kesian mereka. Terpaksa mengharungi musim ‘exam’ seolah-olah mengharungi musim satu wabak penyakit. Ia datang dan pergi membawa segala macam jenis sindrom. Bagi mereka yang tidak tahan, lemah imun psikologinya, sindrom ‘stress’ dan kemurungan akan menghinggap seolah-olah taun yang merencam sistem pencernaan.

Malangnya, wabak ini wabak bermusim.Selagi berstatus sebagai seorang pelajar jangan harap ingin lari daripadanya. Kitaran ‘exam’ sentiasa berulang.‘Exam’ datang dan pergi tetapi perginya pasti kembali.

Oh tuhan, apakah ada ubat! Apakah ada vaksin yang mampu mempertahankan diri ini daripada wabak yang menakutkan ini?

Apabila datang musim ‘exam’ maka bermulalah wabak ini. Wabak ini begitu dahsyat. Semua pelajar pasti dijangkitinya. Semua pelajar pasti jatuh ‘sakit’. Ketika inilah ramai yang akan mula mencari Tuan ‘Doktor’. Ramai akan mencuri segala ruang yang ada untu berbicara kepada-Nya merayu agar dihulurkan bantuan dan dipermudahkan ujian. Tuan ‘Doktor’ memang sudah lali dengan keterbiasaan ini. Keterbiasaan dimana diri-Nya hanya diseru ketika musibah mendatang.

Namun demikian, rayuan bantuan yang dipinta secara ikhlas dan sopan pasti disambut baik oleh Tuan ‘Doktor’. Amat jarang sekali untuk Dia menolaknya. Tetapi, Tuan ‘Doktor’ tidak menghulurkan ubat seperti yang dipinta secara magik. Wujud dengan sekali hembusan mahupun mencul, entah dari mana, di telapak tangan secara tiba-tiba. Apatah lagi untuk melihat-Nya adalah sesuatu yang mustahil. Oleh sebab itu, ramai yang akan rasa kecewa. Tidak kurang juga ada yang rasa was-was, diracuni keraguan.

Walaupun begitu, usahlah kita kecewa, usahlah kita putus asa. Firman-Nya sahaja sebenarnya sudah cukup untuk melemahkan vektor jahat yang dibawa oleh wabak ‘exam’ ini. Percuma tanpa sebarang bayaran.

Kata-kata yang diberi bakal menyembuhkan dengan keizinan-Nya. Namun, tidak memadai sekiranya kata-kata-Nya diambil secara bulat-bulat sebagai penawar. Ubat tidak boleh menyembuhkan tanpa ada usaha. Usaha mesti datang dari pesakit itu sendiri bagi melengkapi terapi yang dimintanya.

‘Exam’ itu satu wabak dan wabaknya bermusim. Musimnya tetap dan datangnya dapat dijangka. Oleh sebab itu, ada sahaja masa untuk kita bersedia. Persediaan mental itu sudah tentu perlu dan persiapan bekalan ilmu untuk menghadapinya itu pastinya wajib. Berilah apa sahaja ubat pun tetapi jika diri sendiri yang menempah bahana, jika diri sendiri yang lalai dan menjerumus kepada kecelakaan tiada siapa mahupun apa yang dapat membantu.

‘Exam’ usah terlalu dirisaukan. Ya, ia memang satu wabak, satu perkara yang menakutkan. Tetapi, di sebaliknya ada manisan Rahmah yang menunggu untuk dihirup oleh mereka yang sabar dan yakin datangnya adalah satu ujian.

‘Exam’ usah terlalu dirisaukan. Walaupun ia sukar, sukarnya ada satu pengajaran. Satu pengajaran bagi mereka yang angkuh dan bongkak agar mereka sedar hakikat sebenar menjadi seorang insan yang perlu kepada tuhan, yang lemah tatkala dihurung musibah.

Hadapilah ‘exam’. Jadikanlah ia sebagai satu kayu ukur. ‘Exam’ akademik, jadikanlah ia sebagai tanda aras kefahaman kita terhadap sesuatu subjek. ‘Exam’ kenaikan pangkat, jadikanlah ia sebagai indikasi dedikasi kita terhadap sesuatu tugas. Namun, yang paling penting sekali, ‘exam’ takwa. ‘Exam’ terbesar yang graduasinya adalah graduasi segala graduasi. Sijilnya adalah sijil di atas segala sijil. Exam yang mengundang pahit kepada manis fantasi hidup di dunia yang penuh dengan ilusi. ‘Exam’ yang hanya ada dua kemungkinan;


"Lulusan syurga ataupun buangan neraka"

25 October 2009

Rasulullah s.a.w. sebagai Pemimpin

Rasulullah s.a.w. telah dibangkitkan oleh Allah untuk memimpin umat manusia di dunia ini ke jalan yang selamat dan bahagia di dunia dan di akhirat. Baginda s.a.w. adalah rahmat dari Allah S.W.T.yang tidak ternilai harganya kepada alam semesta ini,sebagaimana jelas dari firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

'Dan tidaklah kami utuskan engkau wahai Muhammad melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam'.

(Al-Anbiya’:107)

Sebagai seorang Rasul yang diutuskan,darjat ketinggiannya mengatasi pemimpin-pemimpin yang lain. Baginda bersifat ma’sum iaitu terpelihara dari melakukan kesalahan dan kesilapan. Maka kerana itu,arah dan tujuan yang di bawanya untuk seluruh umat manusia ini adalah benar dan terjamin. Baginda memimpin umatnya ke jalan yang diredhai oleh Allah S.W.T. iaitu agama Islam. Kini Baginda s.a.w. sudah tidak ada lagi di dunia ini,tetapi umatnya tetap dijamin tidak akan sesat selama mana mereka berpegang dengan pusaka tinggalannya iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Melalui dua sumber ini umat Islam sentiasa terpimpin dalam menghadapi kehidupan di dunia yang penuh cabaran ini.

Dalam menyampaikan ajaran dan perintah-perintah dari Allah, Baginda juga memperlihatkan contoh-contoh teladan untuk diikuti oleh umatnya. Berkenaan hal ini Allah S.W.T. telah berfirman:

Maksudnya:
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat,serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).'

(Al-Ahzab: 21)

Oleh yang demikian, dalam rencana ini kita akan melihat beberapa pengajaran dan contoh teladan yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. berkenaan kehidupannya untuk kita jadikan panduan serta ikutan dalam mengisi dan mempertingkatkan keimanan kita bagi memperolihi darjat taqwa yang diharap-harapkan. Maka untuk itu, dibentangkan sebahagian dari bimbingan dan teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. khasnya berkenaan perkara-perkara berikut:

RUMAHTANGGA

Keharmonian hidup berumahtangga adalah salah satu faktor utama dalam membina sesebuah masyarakat yang baik dan terhormat. Rumahtangga yang baik dan harmoni ini sukar diperolihi tanpa adanya kerjasama serta saling hormat menghormati antara suami isteri dan lain-lain anggota keluarga. Suami seharusnya berkelakuan baik dan berakhlak mulia dalam mengendalikan rumahtangganya, di samping itu sentiasa memperlihatkan contoh-contoh yang baik dalam pergaulan supaya ianya mudah diteladani oleh isteri dan anak-anaknya. Di dalam rumahtangga, para suami tidak sewajarnya bertindak sebagai seorang yang keras dan bengis yang tahu mengarahkan itu dan ini dan mahukan semuanya tersedia untuknya tanpa memikirkan suasana rumahtangga yang memerlukan kasih sayang,kerjasama dan saling bantu membantu.

Dalam kehidupan berumahtangga, Rasulullah s.a.w. telah memperlihatkan suatu teladan yang baik yang boleh diikuti oleh seseorang suami dalam mengurus rumahtangganya. Sebagai seorang suami Rasulullah s.a.w. amat bertimbang rasa dan bersedia membantu keluarganya. Banyak kerja yang dilakukan dengan tangannya sendiri, seperti menjahit pakaian, memerah susu kambing dan apabila mahu makan Baginda makan apa-apa makanan yang sedia ada saja. Rasulullah s.a.w. sangat marah kepada suami yang memukul isterinya sebagaimana memukul hamba abdi, sabdanya yang bermaksud:

Tidakkah seseorang dari kamu merasa malu untuk memukul isterinya sebagaimana dia memukul hambanya? Di waktu pagi dipukul isterinya kemudian di waktu malam ditidurinya pula'.

Di samping Rasulullah s.a.w. menunjukkan panduan dan contoh tentang hidup tolong menolong serta perasaan kasih sayang kepada isteri, Rasulullah s.a.w. juga menunjukkan suatu teladan yang baik khususnya kepada mereka yang mempunyai isteri yang lebih dari seorang. Sebagaimana yang diketahui umum bahawa Rasulullah s.a.w. mempunyai beberapa orang isteri yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur. Ada yang masih muda dan cantik, dan ada yang sudah berumur. Walau bagaimanapun, Rasulullah s.a.w. tidak sekali-kali bersikap pilih kasih dalam layanan kasih sayang antara mereka. Masa dan giliran mereka dibahagikan dengan adil serta cukup rapi sekalipun dalam masa Baginda sakit. Apabila Rasulullah s.a.w. hendak musafir, Baginda menjalankan undi antara isteri-isterinya itu dan hanya yang terkena undi saja yang berhak bersamanya.

JIRAN

Agama Islam sangat memandang berat tentang masalah berjiran di kalangan masyarakat umat Islam khususnya dan umat manusia umumnya. Islam memberikan perhatian yang sungguh berat ke arah menjalin hubungan yang baik dan harmoni di kalangan masyarakat sesuatu tempat. Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. telah memberi panduan dan ajaran kepada umat Islam supaya mengelakkan diri dari segala sesuatu yang mengelakkan diri dari segala sesuatu yang boleh mencetuskan rasa kurang baik sesama jiran. Dalam salah satu sabdanya, Rasulullah s.a.w. telah menerangkan:

Maksudnya:

' Tidak akan masuk syurga seseorang yang jirannya tidak merasai selamat dari kejahatannya

22 October 2009

SAINTIS AKUI CARA TIDUR NABI MUHAMMAD BAIK UNTUK KESIHATAN

(Petikan Rencana oleh Mohd Roslan Md. Isa, BERITA HARIAN, Julai 15, 2008)

ORANG dewasa memerlukan masa tidur selama enam hingga lapan jam sehari. Bagi kanak-kanak pula memerlukan masa tidur yang lebih panjang. Lain pula bagi golongan veteran yang mencapai usia emas, pola tidur mereka adalah antara empat hingga lima jam sehari.

Amalan tidur membantu untuk memberi keselesaan. Sebelum tidur pastikan diri dalam keadaan bersih dan disarankan mengambil wuduk supaya diri berasa semangat mahu tidur dan keadaan yang bersih disukai Allah.

Tidurlah di atas rusuk kanan dan menghadap kiblat. Berusahalah menjaga adab tidur, elakkan kaki bersilang atau tertiarap dan mengangkat punggung. Tutuplah aurat dan tidurlah di tempat yang terselamat daripada bahaya serta kekotoran.

“Nabi melihat seorang lelaki tidur sambil meniarap, lantas beliau berkata: Inilah cara berbaring yang dibenci Allah.” (Hadis riwayat Tarmizi)

Sabda Baginda SAW bermaksud: “Apabila kamu mahu tidur ambil wuduk dulu seperti kamu mahu sembahyang, kemudian baringlah di sebelah kanan.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Jauhkan diri daripada amalan tidur dua kali pada siang hari kerana amalan itu perbuatan syaitan. Ia menyebabkan wajah jadi kusam, keruh, lembap dan mengurangkan rezeki.

Ibn Qaiyim merumuskan bahawa Nabi SAW tidak tidur dalam kekenyangan. Beliau berbaring berlapikkan bantal, mengiring ke sebelah kanan dalam keadaan berzikir kepada Allah, sehingga tidur. Nabi Muhammad SAW suka tidur mengiring ke sebelah kanan. Baginda SAW tidur berlapikkan bantal yang sesuai dan membenci tidur secara meniarap. Ucapan memuji Allah sering diucap pada bibir.

Saintis juga mengakui kedudukan tidur Nabi Muhammad SAW itu adalah model terbaik. Ia mampu memberi kesan kepada kesihatan badan. Tidur cara Nabi Muhammad SAW mampu merehatkan badan dan menjaga kesihatan tulang leher.

Pakar perubatan mencadangkan dua kedudukan semasa tidur, iaitu mengiring dengan meluruskan tulang belakang atau menelentang di belakang dengan muka dan badan mengadap ke atas dengan menjaga bengkokkan tulang leher.

Anak Rasulullah SAW, Fatimah pernah menemui ayahandanya untuk meminta tawanan perang sebagai pembantu rumah kerana penat melakukan tugasan rumah tangga, tetapi tidak dipenuhi Baginda. Sebaliknya, Baginda SAW mengajarkan mereka cara lebih baik daripada itu, iaitu mengamalkan zikir pada waktu hendak tidur dengan membaca pujian bagi Allah (subhanallah sebanyak 33 kali) diikuti Alhamdulillah dan Allahuakbar.

Itu adalah cara tidur sebaiknya diamalkan sambil berzikir memohon kebaikan serta kesejahteraan daripada Allah.

Cara lain ialah membaca surah digalakkan seperti al-Fatihah, ayat Kursi, tiga ‘Kul’ dan doa sebelum tidur bagi mengelak gangguan.

05 October 2009

Genius Muhammad bin Abdullah


Kalian pernah membaca buku bertajuk Genius Muhammad bin Abdullah oleh Roziah Sidik?

kepada sesiapa yang sudah membacanya, jangan risau, walaupun perihal Perjanjian Hudaibiyah ada juga disentuh,isi artikel kali ini tiada di dalam buku!

Ingin saya membawa kalian menilai kembali Sirah Rasulullah saw. Menilai kembali peristiwa Perjanjian Hudaibiyah. Sebagai revisi zaman matapelajaran Pendidikan Islam bertajuk
Perjanjian Hudaibiyah, ini adalah sedikit ringkasan berkenaan peristiwa bersejarah ini.

Perjanjian Hudaibiyah berlaku pada tahun ke-6 Hijrah, yang menyaksikan pihak Islam
dan Quraisy bersetuju dengan gencatan senjata selama 10 tahun.


Antara isi kandungan perjanjian ialah

  • Genjatan senjata selama 10 tahun, di mana puak Islam dan Quraisy tidak boleh berperang dan tidak boleh menolong puak Arab yang lain dalam peperangan*.
  • Mana-mana puak Arab lain yang ingin bersekutu dengan Islam bebas berbuat demikian, manakala yang ingin bersekutu dengan Quraisy juga bebas berbuat demikian.
  • Umat Islam perlu pulang tanpa menjalani ibadat Haji pada tahun tersebut, tetapi dibenarkan menjalani ibadat Haji di Mekkah pada tahun berikutnya. (Kerana pada asalnya puak Islam ingin menunaikan Haji pada tahun itu.)
Malah di dalam perjanjian ini menyaksikan Nabi saw mengambil tindakan di luar jangkaan pihak Islam dengan:
  • Memotong perkataan 'Rasulullah' di dalam kertas perjanjian, kerana akur di atas permintaan Suhail bin 'Amr (wakil puak Quraisy) kerana dia tidak mengiktiraf Nabi saw sebagai 'Pesuruh Allah'.
  • Bersetuju dengan perjanjian bahawa, mana-mana penduduk Makkah yang datang ke Madinah tanpa kebenaran penjaga akan dipulangkan kembali ke Makkah (ke puak Quraisy), tetapi mana-mana penduduk Madinah yang datang ke Makkah tidak akan dipulangkan kembali ke Madinah!

Pelik? Jika kalian rasa begitu, kalian tidak keseorangan, malah para sahabat RasulUllah saw juga pada asalnya tidak bersetuju. Ia menampakkan seolah-olah pihak Islam berada di pihak yang kalah. Tetapi di atas dasar akur pada perintah Nabi saw dan kewibawaan baginda, maka mereka juga menerimanya.

Dua tindakan di luar jangkaan inilah yang ingin saya bincangkan kali ini. Ia akan menyingkap ke'genius'an Nabi saw apabila kita berjaya faham strategi halus yang ada di dalamnya. Ya, sebenarnya puak Islam berada di pihak yang
menang!

1) Tindakan memotong perkataan Rasulullah

Walaupun Nabi saw mempunyai hak 100% untuk meletakkan perkataan itu, kerana gelaran itu Allah yang anugerahkan kepada baginda, tetapi baginda memikirkan kesan daripada perjanjian tersebut lebih daripada masalah kepentingan perkataan tersebut. Ini kerana dengan termeterainya perjanjian itu, maka umat Islam akhirnya boleh berdakwah secara bebas ke bandar-bandar selain Makkah tanpa gangguan daripada pihak Quraisy. Nabi sendiri tidak menampakkan signifikannya sama ada diletakkan atau tidak perkataan tersebut, tetapi yang lebih penting,cc pihak Quraisy bersetuju dengan perjanjian gencatan sentaja tersebut. Malah, dengan termeterainya perjanjian ini, puak Quraisy secara tidak langsung mengiktiraf kewujudan kepimpinan Islam di Madinah!


2) Satu lagi faktor besar yang menyebabkan puak Quraisy mudah bersetuju dengan perjanjian itu ialah berkenaan pemulangan penduduk Makkah tadi.


Seolah-olah berat ke arah puak Quraisy, dan akhirnya mereka bersetuju untuk berdamai selama 10 tahun. Tetapi di sini terletaknya ke'genius'an Nabi saw sebenar. Analisanya mungkin sedikit berat, tetapi mari sama kita teliti satu persatu.


Saya dapat menyimpulkan dua faktor kenapa mungkin ada di antara orang di Makkah/Madinah yang ingin ke kota Madinah/Makkah, kerana mereka tidak akan pergi tanpa ada alasan yang kukuh:

(i) Atas sebab ingin berdagang.
Faktor ini mungkin logik, tetapi tidak praktikal. Memandangkan Makkah dan Madinah masih 'bermusuhan', kenapa pula ingin berdagang dengan 'musuh'? Jangan dicucuk sarang tebuan!

(ii) Kerana tidak berpuas hati dengan pemerintahan kota sendiri atau ingin bertukar agama.

Ya, alasan ini lebih logik dan boleh di terima.

Mari kita analisa kedua-dua situasi, iaitu bagi
(a) penduduk Madinah, iaitu puak Islam dan
(b) penduduk Makkah, iaitu puak Quraisy.


(a) Penduduk Madinah

Individu ini berkemungkinan orang Yahudi/Arab yang tidak suka akan pemerintahan RasulUllah saw, atau golongan yang masuk Islam kerana terpaksa/munafiq yang ingin melarikan diri dari pemerintahan RasulUllah saw atau ingin murtad. Maka mereka melarikan diri ke Makkah untuk mendapat 'perlindungan' dari puak Quraisy. Mereka pula lega, kerana tidak perlu dipulangkan kembali ke Madinah. Bagi umat Islam di Madinah, golongan-golongan ini memang tidak diperlukan. Malah, lebih baik mereka tiada, kerana golongan-golongan ini adalah musuh di dalam selimut. Golongan yang boleh menggugat Islam dari dalam. Tindakan mereka menawar diri untuk berpisah dengan umat Islam amat melegakan, kerana seorang lagi musuh telah keluar dari dalam selimut!

(b) Individu ini pula berminat dengan Islam dan/atau pemerintahan Nabi saw.
Mereka ingin berhijrah ke Madinah. Tetapi apakan daya, sekalipun mereka ke Madinah, terpaksa dihantar pulang ke Makkah. Apakah strategi Nabi saw di sini? Kemungkinan besar Nabi saw sendiri telah berfikir jauh berkenaan ini, sehinggakan, untuk pengetahuan kalian, akhirnya puak Quraisy
MERAYU supaya klausa tersebut di ubah, iaitu mana-mana penduduk Makkah (yang ingin berhijrah ke Madinah) tidak perlu di pulangkan kembali!

Tersebut kisah seorang Quraisy bernama Abu Baseer ra yang melarikan dari puak Quraisy dan menyatakan keimanannya kepada RasulUllah saw. Namun, setelah dua orang wakil Quraisy datang menuntutnya kembali, baginda saw melepaskan Abu Baseer untuk dihantar pulang. Ketika di perjalanan, Abu Baseer telah membunuh salah seorang daripada puak Quraisy tersebut, dan melarikan diri sekali lagi ke Madinah.

Namun, Nabi tetap tidak mahu menerimanya, kerana jika baginda saw terima, maka perjanjian tersebut telah dilanggari. Mendengar berita bahawa dia akan dihantar sekali lagi ke puak Quraisy di Makkah, maka Abu Baseer telah melarikan diri ke suatu tempat bernama Saiful-Bahr.

Puak Islam yang masih tertindas di Makkah pula akhirnya melarikan diri juga ke Saiful-Bahr dan menyertai Abu Baseer, lalu membentuk satu kumpulan dan koloni di situ. Atas dasar membalas dendam ke atas penindasan yang dilakukan oleh puak Qurasiy terhadap mereka, mereka telah memintas rombongan-rombongan perdagangan Quraisy.

Perkara ini membingungkan puak Quraisy. Mereka tidak boleh berperang, dalam masa yang sama, puak Islam di Saiful Bahr sendiri tidak tertakluk kepada Perjanjian Hudaibiyah, kerana mereka bukan penduduk Madinah!

Akhirnya, atas desakan tersebut, mereka
MERAYU kepada Nabi saw supaya menerima puak Islam di Saiful Bahr tersebut sebagai penduduk Madinah, dan puak Quraisy bersetuju untuk mengubah klausa perjanjian, di mana sesiapa dari Makkah yang datang ke Madinah tidak perlu dipulangkan kembali.

Maka, dengan bertukarnya klausa perjanjian itu, tahun berikutnya (tahun ke-7 HIjrah) menyaksikan
TIGA orang besar dari puak Quraisy Makkah memeluk Islam; 'Amr bin Al-'As, Khalid bin Al-Walid dan 'Uthman bin Talhah.

Lalu Nabi saw bersabda:

"Puak Quraisy telah memberi kita DARAH mereka sendiri"

SubhanAllah. Sekarang, kalian boleh rasa ke'genius'an Nabi saw? Betapa baginda berfikiran jauh? Tidakkah kalian rasa kagum dengan Nabi junjungan kita bila contoh seperti ini (dan berpuluh-puluh lagi contoh lain) diberikan? Inilah antara perkara-perkara tersirat yang terdapat didalam sirah, yang memerlukan kita untuk meneliti dan 'membaca' apa yang tersirat disebalik peristiwa-peristiwa itu.

Akhir kata, mari berselawat ke atas Nabi saw yang mana atas usaha dakwah baginda, Islam tersebar di dunia sehingga kita juga dapat kecapi nikmatnya. AlhamdulIllah. Allahumma solli 'alaa Muhammad, wa 'ala aalihi wa sohbihi ajma'iin.

 
==================================

* Akhirnya puak Quraisy melanggar isi perjanjian ini, sehingga terjadinya peristiwa Pembukaan Makkah. Rujukan buku: [Genius Muhammad bin Abdullah] oleh Roziah Sidik, [The Sealed Nectar (Al-Raheequl Makhtum)] oleh Safiur-Rahman Al-Mubarakpuri, [The Battles of The Prophet s.a.w] oleh Ibnu Kathir.






<>