Iklan

Pages

Followers

16 January 2010

Honda tawar biasiswa

TABUNG Honda Dreams (HDF) membuka peluang kepada 20 pemohon yang berkelayakan tahun ini untuk menerima biasiswa tersebut. Permohonan boleh dibuat bermula 7 Januari hingga 31 Mac 2010.
Biasiswa ini diperkenalkan oleh Honda Malaysia Sdn. Bhd. dengan kerjasama Program Pembangunan Bangsa-bangsa Bersatu Malaysia (MUNDP) sejak April 2007.
Ia bermatlamat menyediakan biasiswa penuh kepada pelajar kurang berkemampuan. Sehingga kini, seramai 60 penerima biasiswa tersebut telah mengikuti kursus pilihan mereka di kolej-kolej dan universiti-universiti tempatan sebagai langkah pertama bagi mereka pergi lebih dalam bidang pendidikan.
Pengarah Urusan Honda Malaysia, Toru Takahashi berkata, Honda komited dengan projek HDF ini dalam usaha membantu remaja berpotensi besar namun kurang berkemampuan mencapai impian mereka melanjutkan pelajaran seterusnya berjaya di masa hadapan.
``Melalui HDF ini, kami berharap dapat memberi keyakinan kepada para remaja untuk menyediakan mereka dengan amkna kehidupan yang lebih baik di masa hadapan untuk diri mereka sendiri dan keluarga.
``Pada masa yang sama, kami berharap untuk menyumbang kepada pembangunan modal insan di negara ini,'' katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Beliau menjelaskan, tahun ini Honda memperuntukkan sebanyak RM 1 juta bagi Tabung Honda Dreams. Syarikat itu juga akan terus memberi tumpuan dalam mencari remaja berpotensi dari keluarga kurang berkemampuan di seluruh negara terutamanya di kawasan luar bandar supaya mereka berpeluang memohon biasiswa tersebut.
``Tahun ini HDF akan terus mengadakan 'road show' mengenai HDF serta mengadakan lebih banyak lawatan ke kawasan pedalaman di Kelantan, Terengganu, Sabah dan Perak sebagai kesinambungan tahun-tahun sebelumnya,'' tambahnya yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia.
Beliau berharap tahun ini lebih ramai remaja akan memohon biasiswa tersebut untuk mengambil peluang sekali seumur hidup yang tersedia.
Antara syarat untuk memohon biasiswa tersebut adalah warga negara Malaysia berumur 17 hingga 24 tahun dan sekurang-kurangnya lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Selain itu, pemohon perlulah daripada keluarga yang pendapatan isi rumah RM1,500 dan ke bawah dan tidak menerima sebarang bantuan kewangan dari organisasi dan agensi lain mahupun bantuan kerajaan.
Pemohon juga perlu menulis esei tidak melebihi 500 perkataan tentang aspirasi dalam merialisasikan impian mereka.
Borang permohonan boleh dimuat turun di laman sesawang www.honda.com.my/hdf.

No comments:

Post a Comment

<>