Iklan

Pages

Followers

05 October 2009

Genius Muhammad bin Abdullah


Kalian pernah membaca buku bertajuk Genius Muhammad bin Abdullah oleh Roziah Sidik?

kepada sesiapa yang sudah membacanya, jangan risau, walaupun perihal Perjanjian Hudaibiyah ada juga disentuh,isi artikel kali ini tiada di dalam buku!

Ingin saya membawa kalian menilai kembali Sirah Rasulullah saw. Menilai kembali peristiwa Perjanjian Hudaibiyah. Sebagai revisi zaman matapelajaran Pendidikan Islam bertajuk
Perjanjian Hudaibiyah, ini adalah sedikit ringkasan berkenaan peristiwa bersejarah ini.

Perjanjian Hudaibiyah berlaku pada tahun ke-6 Hijrah, yang menyaksikan pihak Islam
dan Quraisy bersetuju dengan gencatan senjata selama 10 tahun.


Antara isi kandungan perjanjian ialah

  • Genjatan senjata selama 10 tahun, di mana puak Islam dan Quraisy tidak boleh berperang dan tidak boleh menolong puak Arab yang lain dalam peperangan*.
  • Mana-mana puak Arab lain yang ingin bersekutu dengan Islam bebas berbuat demikian, manakala yang ingin bersekutu dengan Quraisy juga bebas berbuat demikian.
  • Umat Islam perlu pulang tanpa menjalani ibadat Haji pada tahun tersebut, tetapi dibenarkan menjalani ibadat Haji di Mekkah pada tahun berikutnya. (Kerana pada asalnya puak Islam ingin menunaikan Haji pada tahun itu.)
Malah di dalam perjanjian ini menyaksikan Nabi saw mengambil tindakan di luar jangkaan pihak Islam dengan:
  • Memotong perkataan 'Rasulullah' di dalam kertas perjanjian, kerana akur di atas permintaan Suhail bin 'Amr (wakil puak Quraisy) kerana dia tidak mengiktiraf Nabi saw sebagai 'Pesuruh Allah'.
  • Bersetuju dengan perjanjian bahawa, mana-mana penduduk Makkah yang datang ke Madinah tanpa kebenaran penjaga akan dipulangkan kembali ke Makkah (ke puak Quraisy), tetapi mana-mana penduduk Madinah yang datang ke Makkah tidak akan dipulangkan kembali ke Madinah!

Pelik? Jika kalian rasa begitu, kalian tidak keseorangan, malah para sahabat RasulUllah saw juga pada asalnya tidak bersetuju. Ia menampakkan seolah-olah pihak Islam berada di pihak yang kalah. Tetapi di atas dasar akur pada perintah Nabi saw dan kewibawaan baginda, maka mereka juga menerimanya.

Dua tindakan di luar jangkaan inilah yang ingin saya bincangkan kali ini. Ia akan menyingkap ke'genius'an Nabi saw apabila kita berjaya faham strategi halus yang ada di dalamnya. Ya, sebenarnya puak Islam berada di pihak yang
menang!

1) Tindakan memotong perkataan Rasulullah

Walaupun Nabi saw mempunyai hak 100% untuk meletakkan perkataan itu, kerana gelaran itu Allah yang anugerahkan kepada baginda, tetapi baginda memikirkan kesan daripada perjanjian tersebut lebih daripada masalah kepentingan perkataan tersebut. Ini kerana dengan termeterainya perjanjian itu, maka umat Islam akhirnya boleh berdakwah secara bebas ke bandar-bandar selain Makkah tanpa gangguan daripada pihak Quraisy. Nabi sendiri tidak menampakkan signifikannya sama ada diletakkan atau tidak perkataan tersebut, tetapi yang lebih penting,cc pihak Quraisy bersetuju dengan perjanjian gencatan sentaja tersebut. Malah, dengan termeterainya perjanjian ini, puak Quraisy secara tidak langsung mengiktiraf kewujudan kepimpinan Islam di Madinah!


2) Satu lagi faktor besar yang menyebabkan puak Quraisy mudah bersetuju dengan perjanjian itu ialah berkenaan pemulangan penduduk Makkah tadi.


Seolah-olah berat ke arah puak Quraisy, dan akhirnya mereka bersetuju untuk berdamai selama 10 tahun. Tetapi di sini terletaknya ke'genius'an Nabi saw sebenar. Analisanya mungkin sedikit berat, tetapi mari sama kita teliti satu persatu.


Saya dapat menyimpulkan dua faktor kenapa mungkin ada di antara orang di Makkah/Madinah yang ingin ke kota Madinah/Makkah, kerana mereka tidak akan pergi tanpa ada alasan yang kukuh:

(i) Atas sebab ingin berdagang.
Faktor ini mungkin logik, tetapi tidak praktikal. Memandangkan Makkah dan Madinah masih 'bermusuhan', kenapa pula ingin berdagang dengan 'musuh'? Jangan dicucuk sarang tebuan!

(ii) Kerana tidak berpuas hati dengan pemerintahan kota sendiri atau ingin bertukar agama.

Ya, alasan ini lebih logik dan boleh di terima.

Mari kita analisa kedua-dua situasi, iaitu bagi
(a) penduduk Madinah, iaitu puak Islam dan
(b) penduduk Makkah, iaitu puak Quraisy.


(a) Penduduk Madinah

Individu ini berkemungkinan orang Yahudi/Arab yang tidak suka akan pemerintahan RasulUllah saw, atau golongan yang masuk Islam kerana terpaksa/munafiq yang ingin melarikan diri dari pemerintahan RasulUllah saw atau ingin murtad. Maka mereka melarikan diri ke Makkah untuk mendapat 'perlindungan' dari puak Quraisy. Mereka pula lega, kerana tidak perlu dipulangkan kembali ke Madinah. Bagi umat Islam di Madinah, golongan-golongan ini memang tidak diperlukan. Malah, lebih baik mereka tiada, kerana golongan-golongan ini adalah musuh di dalam selimut. Golongan yang boleh menggugat Islam dari dalam. Tindakan mereka menawar diri untuk berpisah dengan umat Islam amat melegakan, kerana seorang lagi musuh telah keluar dari dalam selimut!

(b) Individu ini pula berminat dengan Islam dan/atau pemerintahan Nabi saw.
Mereka ingin berhijrah ke Madinah. Tetapi apakan daya, sekalipun mereka ke Madinah, terpaksa dihantar pulang ke Makkah. Apakah strategi Nabi saw di sini? Kemungkinan besar Nabi saw sendiri telah berfikir jauh berkenaan ini, sehinggakan, untuk pengetahuan kalian, akhirnya puak Quraisy
MERAYU supaya klausa tersebut di ubah, iaitu mana-mana penduduk Makkah (yang ingin berhijrah ke Madinah) tidak perlu di pulangkan kembali!

Tersebut kisah seorang Quraisy bernama Abu Baseer ra yang melarikan dari puak Quraisy dan menyatakan keimanannya kepada RasulUllah saw. Namun, setelah dua orang wakil Quraisy datang menuntutnya kembali, baginda saw melepaskan Abu Baseer untuk dihantar pulang. Ketika di perjalanan, Abu Baseer telah membunuh salah seorang daripada puak Quraisy tersebut, dan melarikan diri sekali lagi ke Madinah.

Namun, Nabi tetap tidak mahu menerimanya, kerana jika baginda saw terima, maka perjanjian tersebut telah dilanggari. Mendengar berita bahawa dia akan dihantar sekali lagi ke puak Quraisy di Makkah, maka Abu Baseer telah melarikan diri ke suatu tempat bernama Saiful-Bahr.

Puak Islam yang masih tertindas di Makkah pula akhirnya melarikan diri juga ke Saiful-Bahr dan menyertai Abu Baseer, lalu membentuk satu kumpulan dan koloni di situ. Atas dasar membalas dendam ke atas penindasan yang dilakukan oleh puak Qurasiy terhadap mereka, mereka telah memintas rombongan-rombongan perdagangan Quraisy.

Perkara ini membingungkan puak Quraisy. Mereka tidak boleh berperang, dalam masa yang sama, puak Islam di Saiful Bahr sendiri tidak tertakluk kepada Perjanjian Hudaibiyah, kerana mereka bukan penduduk Madinah!

Akhirnya, atas desakan tersebut, mereka
MERAYU kepada Nabi saw supaya menerima puak Islam di Saiful Bahr tersebut sebagai penduduk Madinah, dan puak Quraisy bersetuju untuk mengubah klausa perjanjian, di mana sesiapa dari Makkah yang datang ke Madinah tidak perlu dipulangkan kembali.

Maka, dengan bertukarnya klausa perjanjian itu, tahun berikutnya (tahun ke-7 HIjrah) menyaksikan
TIGA orang besar dari puak Quraisy Makkah memeluk Islam; 'Amr bin Al-'As, Khalid bin Al-Walid dan 'Uthman bin Talhah.

Lalu Nabi saw bersabda:

"Puak Quraisy telah memberi kita DARAH mereka sendiri"

SubhanAllah. Sekarang, kalian boleh rasa ke'genius'an Nabi saw? Betapa baginda berfikiran jauh? Tidakkah kalian rasa kagum dengan Nabi junjungan kita bila contoh seperti ini (dan berpuluh-puluh lagi contoh lain) diberikan? Inilah antara perkara-perkara tersirat yang terdapat didalam sirah, yang memerlukan kita untuk meneliti dan 'membaca' apa yang tersirat disebalik peristiwa-peristiwa itu.

Akhir kata, mari berselawat ke atas Nabi saw yang mana atas usaha dakwah baginda, Islam tersebar di dunia sehingga kita juga dapat kecapi nikmatnya. AlhamdulIllah. Allahumma solli 'alaa Muhammad, wa 'ala aalihi wa sohbihi ajma'iin.

 
==================================

* Akhirnya puak Quraisy melanggar isi perjanjian ini, sehingga terjadinya peristiwa Pembukaan Makkah. Rujukan buku: [Genius Muhammad bin Abdullah] oleh Roziah Sidik, [The Sealed Nectar (Al-Raheequl Makhtum)] oleh Safiur-Rahman Al-Mubarakpuri, [The Battles of The Prophet s.a.w] oleh Ibnu Kathir.






No comments:

Post a Comment

<>